Join MultiplyOpen a Free ShopSign InHelp
MultiplyLogo
SEARCH


Bersama Ismail Saidin (Berita Harian, 21 Februari 2008)



Terung ranti
Nama Saintifik: Solanum americanum Miller
Sinonim: Solanum nigrum L.
Famili: Solanceae
Nama lain: Terung perat

PUCUK atau daun muda terung ranti sudah lama dikenali sebagai sayuran, terutama di kalangan masyarakat desa di pesisir pantai yang bertanah gambut. Sayur ini biasanya dimasak lemak atau ditumis. Pucuknya dicelur dan dijadikan ramuan kerabu. Rasanya pahit sedikit dan tidak digemari sesetengah orang, terutama kanak-kanak.

Sayur yang dimakan ini dianggap ubat. Ada catatan menyatakan sayur ini berfungsi sebagai laksatif dan diuretik. Ada juga pendapat menyatakan ia sebagai afrodisiak. Buahnya dikatakan mengandungi racun.


Terung ranti adalah herba saka, dipercayai berasal dari Selatan Amerika dan tersebar hingga ke Asia Tenggara. Herba saka ini ditanam secara tanaman semusim, kadangkala ditemui tumbuh liar di sekitar tanah terbiar, terutama di sekitar tanah gambut yang baru dibuka.

Batangnya lembut, bersegi, licin, bercabang banyak, merimbun dan mencapai ketinggian 60 hingga 90 sentimeter (sm). Daunnya pelbagai saiz dan bentuk. Kebanyakannya berbentuk ovat-lanseolat, tepi daun bergerigi kasar, 3 hingga 6 sm panjang dan 2 hingga 4 sm lebar, berwarna hijau muda. Infloresen berjambak pada batang atau ranting di pucuk.

Pada satu jambak terdapat beberapa bunga kecil, 3 hingga 4 milimeter (mm) diameter, berwarna putih. Buah beri, globos, 0.5 sm diameter, berwarna hijau ketika muda dan bertukar hitam keunguan apabila masak. Buah ini berjus hitam keunguan, berbiji banyak dan halus.


Sayur ini mengandungi khasiat yang tinggi. Dalam tiap 100 gram (g) bahagian yang boleh dimakan terung ranti mengandungi: Air 85 g, protein 4.7 g, lemak 0.5 g, karbohidrat 8.1 g, kalsium 210 mg, ferum 6.1 mg, karotena 1.9 mg, vitamin B1 0.14 mg dan vitamin C 40 mg.

Terung ranti mudah dibiakkan dengan cara biji benih. Biji benihnya boleh dipungut daripada buah yang cukup masak dan dikeringkan di tempat yang teduh. Biji ini kemudian ditabur terus ke batas. Sebaiknya, biji ini digaul dalam pasir yang kering terlebih dulu sebelum ditabur. Selepas 5 hingga 6 minggu sayur ini boleh tuai.

Terung ranti boleh juga dibiakkan dengan cara keratan batang atau keratan pucuk berdaun. Keratan ini boleh ditanam terus ke batas atau disemai terlebih dulu ke dalam pasir. Selepas berakar dipindahkan ke batas.

Belinjau
Nama Saintifik: Gnetum gnemon L.
Famili: Gnetaceae

Pucuk dan buah belinjau muda adalah sayuran yang semakin dilupakan. Bagi masyarakat desa pucuk dan buah muda belinjau antara sayur yang digemari dan menyelerakan. Sayur ini biasanya dimasak lemak dengan udang atau makanan laut lain.

Di Indonesia, buah belinjau yang masak dijadikan emping yang kemudiannya digoreng menjadi keropok dan dinamakan keropok belinjau.

Pucuk dan buah muda belinjau mengandungi khasiat makanan yang agak tinggi, terutama vitamin A dan vitamin C. Dalam tiap 100 gram (g) bahagian yang boleh dimakan mengandungi: Air 75.1 (miligram) mg, protein 6.6 g, lemak 1.2 g, karbohidrat 9.1 g, serat 6.8 g, kalsium 151 mg, fosforus 224 mg, ferum 2.5 mg, vitamin A 10889 I.U. Niasin 1.2 mg dan vitamin C 121 mg.

Pokok belinjau tergolong dalam kumpulan gimnosperma, iaitu pokok yang hidup di zaman purba. Pokoknya berbatang lurus, malar hijau, dioesius dan mencapai ketinggian antara 5 hingga 10 meter. Dahannya tumbuh sepusar dan lateral membentuk silara yang berbentuk kon. Dahan ini pula membesar di pangkalnya seolah-olah membedung batangnya.

Daunnya elips lanseolat, 7 hingga 18 sentimeter (sm) panjang, 3 hingga 8 sm lebar, berwarna hijau kekuningan ketika muda dan bertukar hijau tua apabila matang. Buahnya elipsoid, 2 hingga 3.5 sm panjang, 1 hingga 2 sm lebar, berwarna hijau semasa muda dan bertukar menjadi kuning, merah keunguan apabila masak.

Pokok ini dibiakkan dengan cara semaian biji benih. Biji yang cukup masak disemai ke dalam pasir. Percambahan mengambil masa yang lama.

Pokok belinjau jarang ditemui lagi. Bagaimanapun, di kampung pokok ini juga ditanam di sekitar rumah untuk keperluan dapur.





Add a Comment